Friday, January 6, 2012

PENYAKIT IKAN



Ich atau White Spot

Penyakit ini adalah satu penyakit yang sering menyerang ikan-ikan tropika seperti Betta. Ia mudah dikenalpasti dengan melihat titik-titik putih halus seperti serbuk garam pada badan ikan.Penyakit ini mudah terjadi apabila perubahan suhu yang berlaku secara mendadak misalnya dari keadaan panas kepada sejuk.Memandangkan betta merupakan ikan tropika maka suhu panas adalah lebih digemari maka persekitaran yang sejuk akan membuatkan ia berada dalam keadaan tekanan (stress).Keadaan tersebut menyebabkan antibodi ikan menurun dan langsung mendedahkannya kepada penyakit seperti ini.Ikan akan merasa tidak selesa dengan kehadiran parasit ( Ichthyophthiritis multifiliis) ini dan akan menggeselkan badan pada apa-apa objek untuk menghilangkannya.Setiap titik putih tersebut mewakili parasit protozoa yang bercengkerang (cyst). Ia hidup dengan menghisap cecair tubuh ikan.Apabila selesai tempoh pemakanannya,ia akan tanggal dan jatuh ke dasar akuarium.Proses pembiakan parasit ini berlaku di dalam cengkerang dan kira-kira 24 jam kemudian, cengkerang tersebut akan pecah dan membebaskan beratus-ratus parasit halus yang akan berenang-renang mencari perumah yang baru untuk makan.Sekiranya perumah gagal ditemui dalam tempoh 2 hari,parasit tersebut akan mati. Kaedah untuk membunuh parasit ini hanyalah pada masa pusingan hayat ia berada di dalam keadaan peringkat berenang bebas sahaja iaitu selepas penetasannya .Ini disebabkan cengkerang parasit adalah kebal/berdaya rintang terhadap sebarang ubat atau garam.
Memandangkan parasit ini sensitif pada perubahan suhu, maka peningkatan suhu sehingga 86 darjah Farenhait akan menyebabkan ia mengalami tekanan dan mati.Akan tetapi ikan juga akan mengalami tekanan pada suhu sebegini.
Ubatan seperti Malachite Green boleh juga diguna untuk rawatan yang akan memakan masa selama 10 hari ke 3 minggu.Rawatan perlu berterusan untuk memastikan parasit benar-benar dihapuskan.Rawatan menggunakan garam kasar juga boleh digunapakai.Langkah pencegahan sebenarnya adalah kaedah terbaik menagani penyakit-penyakit,justeru itu elakkan diri anda dari melakukan proses pertukaran air semasa keadaan persekitaran sejuk.


Ia juga dikenali sebagai penyakit gumpalan kapas (cotton wool).Ia disebabkan oleh sejenis bakteria gram negatif iaitu Flexibacter columnaris.Tanda-tanda ikan terkena penyakit ini ialah berlegar-legar di permukaan air dan tercungap-cungap diikuti oleh tompokan seperti ulser di badan dan ia berkembang sehingga menampakkan tisu badan yang mereput.Kemudian akan kelihatan filamen halus seperti kapas dari luka tersebut dan insang.Sel insang akan membengkak menyebabkan ikan kehilangan kemampuan untuk bernafas dengan teratur.Kebiasaannya ikan yang terkena penyakit ini akan mati dalam tempoh 48 jam.
Untuk mengelak ia merebak,ikan yang sakit perlu diasingkan.Sekiranya ia dikesan pada peringkat awal, ikan tersebut perlu ditukar ke air yang bersih dengan dimasukkan 4 sudu the garam kasar untuk setiap gelen air.Melafix juga boleh digunakan selain dari Yellow Powder keluaran Jepun.Bekas ikan yang sakit perlu dibersihkan sebersih bersihnya dan menggunakan peluntur (bleach) dan dijemur pada matahari. Ikan-ikan yang masih sihat perlu ditukar air dan dimasukkan sedikit garam untuk pencegahan.Alatan seperti tangguk,span pembersih dan bekas sementara(sering diguna apabila proses pertukaran air sebagai bekas transit)perlu dibersihkan dgn air paip berklorin. Penyakit ini berpunca dari pengurusan air yang lemah dan tidak mengambil berat untuk membersihkan bekas ikan dan peralatan yang digunakan setiap kali selesai digunakan serta tidak mengamalkan sistem kuarantin apabila memperolehi ikan baru.


Penyakit – Velvet

Satu lagi penyakit yang sering menyerang ikan tropika seperti betta.Walaupun ianya disebabkan oleh parasit yang berlainan dari penyebab White Spot,ia hampir menyerupai White Spot pada sekilas pandang.I disebabkan oleh parasit mikroskopik yang dikenali sebagai Oodinium. Betta yang dijangkiti Velvet akan kelihatan butiran bintik-bintik kekuningan di sepanjang badan sehingga ke sirip.Butiran ini mengandungi organisma parasit yang lebih seni berbanding White Spot dan lebih meluas sebarannya. Betta yang dijangkiti akan berenang dengan sirip yang kuncup.Butiran Velvet mudah kelihatan pada sirip pektorial kerana sirip ini biasanya tidak bewarna.Velvet amat sering menyerang anak ikan yang berumur beberapa hari sehingga berusia 2 bulan dan penyakit ini sangat merbahaya sekiranya terjadi di dalam tangki tumbesaran (grow out tank) dimana kebanyakan anak ikan akan mati.Malangnya disebabkan butiran Velvet ini terlalu halus,kebanyakan ikan hanya dikesan dijangkiti apabila telah berada pada peringkat serius, justeru itu,betta yang sering berenang dengan keadaan sirip yang kuncup amat dikuatiri telah dijangkiti penyakit ini.Rawatan penyakit ini adalah sama seperti rawatan untuk penyakit White Spot dan dengan dimasukkan 1 sudu besar garam kasar untuk setiap gelen air. Tukar air setiap 2 hari dan teruskan rawatan dengan garam kasar sehinggalah butiran Velvet tidak lagi kelihatan pada badan dan sirip ikan.....copy HZA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...